BAB 1
Sakit telinga Iman Raihan mendengar bebelan ibu saudaranya iaitu kakak kepada ibunya. Iman Raihan tayang muka bosan apabila Mak Senah mula bercerita tentang Danish, anak kepada Haji Hassan. Di Kampung Pandan Hijau, Danish memang sangat terkenal di kalangan mak cik-mak cik untuk dijadikan anak menantu. Danish belajar di sekolah berasrama penuh dan wajahnya boleh tahan handsome.
“Ihan. Ihan dengar tak apa yang Mak Senah cakapkan ni?”, Mak Senah menampar perlahan lengan Iman Raihan.
Iman Raihan memuncungkan bibirnya. “Dengar”, jawabnya dengan nada perlahan.
Mak Senah mengeluh. “Mak Senah tak tahu apa nak buat dengan Ihan. Kenapa Ihan suka sangat ambik buah-buahan kat kebun Haji Hassan tu?”.
“Salah ke kalau Ihan ambik?”, tanya Iman Raihan dengan nada tidak puas hati.
Mak Senah memandang Iman Raihan dengan pandangan tajam. Tersentak Iman Raihan apabila Mak Senah mencubit telinga kirinya. Dia mengadu kesakitan.
“Adui! Adui! Sorry, Mak Senah. Sorry”, ucap Iman Raihan sambil menahan sakit.
“Sorry?”, Mak Senah memulas telinga Iman Raihan. “Sorry naik lorilah!”.
“Mak?”.
Nak tercabut jantung Mak Senah dibuatnya apabila mendengar suara garau itu. Dia memandang ke arah pintu rumah. Bibirnya terus mengukir senyuman manis apabila wajah anak bongsunya menerobos masuk ke lensa matanya.
“Mak Senah. Sakitlah!”, adu Iman Raihan.
Mak Senah melepaskan telinga Iman Raihan. Dia terlupa pulak yang dia sedang mencubit telinga Iman Raihan. Wajah Iman Raihan merah menyala menahan sakit dan marah.
“Apa kerja mengarut yang Ihan buat hari ni, mak?”, tanya Habsyah pada Mak Senah.
Iman Raihan menjeling Habsyah yang baru pulang dari bermain bola sepak di padang kampung seberang. Habsyah buat-buat tak tahu aje dengan jelingan Iman Raihan.
“Ihan curi buah durian dari dusun Haji Hassan”, jawab Mak Senah sambil matanya memandang tajam ke arah Iman Raihan.
“Ihan tak curilah. Ihan ambik”, bantah Iman Raihan.
“Tapi tanpa kebenaran Haji Hassan, kan?”, balas Mak Senah dengan wajah garang.
Iman Raihan mendengus perlahan. Dia menarik muka masam. Habsyah menggeleng perlahan melihat perlakuan Iman Raihan yang seperti anak kecil. Walaupun mereka berdua sebaya, tapi Iman Raihan sering berperlakuan tidak sesuai dengan umur mereka.
“Sudahlah, mak. Biarkan aje si Ihan ni. Dia bukannya dengar pun apa yang mak cakap kat dia. Buang masa aje”, Habsyah berjalan di hadapan Iman Raihan untuk masuk ke dalam biliknya.
Tiba-tiba Iman Raihan memegang lengan Habsyah. Habsyah sedikit terkejut dengan perlakuan sepupunya itu. Dia memandang Iman Raihan yang masam mencuka wajahnya.
“Aku dengar apa yang Mak Senah cakap kat aku. Masa aku nak ambik buah durian tu, Haji Hassan tak ada. Sebab tu lah aku ambik buah durian tu macam tu aje. Macam mana aku nak minta izin Haji Hassan kalau dia tak ada kat rumah?”, Iman Raihan melepaskan lengan Habsyah.
Mak Senah menggeleng perlahan. “Tapi Ihan tetap kena minta izin dulu daripada Haji Hassan”.
“Macam mana? Dia bukannya ada kat rumah pun. Mak Senah nak Ihan cari dia semata-mata untuk minta izin dia?”, Iman Raihan memandang lantai.
“Ihan. Dusun tu Haji Hassan yang punya. Ihan kena minta izin daripada tuan dusun tu kalau Ihan nak ambik sesuatu dari dusun tu. Kalau tak, Ihan jadi pencuri. Ihan nak ke jadi pencuri?”, lembut nada suara Mak Senah.
Iman Raihan hanya diam. Dia masih lagi memandang lantai. Seketika kemudian, dia menapak menuju ke pintu rumah.
“Ihan”, panggil Mak Senah.
“Lain kali Ihan minta izin Haji Hassan dulu”, ujar Iman Raihan tanpa memandang Mak Senah.
Mak Senah dan Habsyah hanya memandang Iman Raihan keluar dari rumah. Mak Senah menghela nafas. Dia memandang Habsyah.
“Syah dah solat asar?”, tanya Mak Senah.
Habsyah menganggukkan kepalanya. Dia masuk ke dalam biliknya dan menutup pintu. Mak Senah pula menuju ke dapur.
No comments:
Post a Comment