BAB 2
“Syah. Ada orang nak jumpa awak”.
Habsyah mengangkat kepala. Bibirnya mengukir senyuman melihat wajah teman wanitanya, Aina. Dia memandang ke arah pintu kelas. Senyumannya terus mati apabila ternampak Iman Raihan yang berdiri di hadapan pintu kelas 5 Sains 1.
“Itu budak yang baru pindah ke sekolah ni minggu lepas, kan? Kawan awak ke?”, tanya Aina pada Habsyah.
Habsyah mengeluh. “Dia sepupu saya”, jawab Habsyah nak tak nak.
Dia berjalan menghampiri Iman Raihan yang sedang menguis tanah dengan hujung kasutnya. Apa dia buat kat kelas aku ni? Rungut Habsyah dalam hati.
“Apa hal?”, tanya Habsyah dengan nada yang agak keras kepada Iman Raihan.
Iman Raihan memandang Habsyah. “Kenapa lambat sangat kau keluar, hah?”, dia memandang sekejap ke arah Aina yang sedang memandang ke arah mereka berdua. “Itu girlfriend kau ke, Hab? Dia asyik pandang kau aje”.
“Berapa kali kau nak aku beritahu kau? Jangan panggil aku Hab”, marah Habsyah.
Iman Raihan mengangkat kening sebelah. “Nama kau kan Habsyah. Tak salah aku nak panggil kau Hab. Ke kau nak aku panggil kau Aca?”.
“Kau jangan nak mengarut dengan aku boleh tak?”, Habsyah buat muka bengang.
Iman Raihan menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia menghulurkan sebekas makanan kepada Habsyah. Habsyah terpinga-pinga.
“Ambik. Mak Senah suruh aku bagi kau”, ujar Iman Raihan.
“Kenapa mak aku suruh kau pulak?”.
“Sebab kau pergi sekolah awal hari ni. Dia tak sempat nak bagi kau”, jawab Iman Raihan laju. “Ambiklah cepat”, gesanya.
Habsyah serba salah ingin mengambil bekas makanan itu. Dia perasan yang Aina sedang memandang ke arah mereka berdua dan raut wajah Aina tampak cemburu. Malah rakan-rakan sekelasnya turut memandang ke arah mereka berdua.
“Budak baru tu bagi makananlah kat Syah. Diorang berdua ada apa-apa ke? Scandal ke?”, telinga Habsyah menangkap apa yang diperkatakan oleh salah seorang rakan sekelasnya.
“Hab. Kau ni dah kenapa? Ambiklah cepat. Aku nak balik kelas”, Iman Raihan memegang tangan Habsyah dan menggesa Habsyah untuk mengambil bekas makanannya.
“Aina. Perempuan tu selamba aje pegang tangan Syah. Dia main kayu tiga dengan kau ke?”, jelas kedengaran suara itu di telinga Habsyah.
Tiba-tiba Habsyah menolak tangan Iman Raihan dan menyebabkan bekas makanan itu jatuh ke tanah. Habis nuget ayam di dalam bekas itu bertaburan di atas tanah. Habsyah tergamam. Dia tidak bermaksud untuk menjatuhkan bekas makanan itu.
“Budak baru tu kena reject dengan Syah ke?”, bisikan kedengaran di sana-sini.
Iman Raihan mencangkung dan mengutip nuget ayam itu. Dia memasukkannya ke dalam bekas makanan tadi. Habsyah hanya memandang Iman Raihan sehingga semua nuget berada di dalam bekas makanan itu semula. Iman Raihan berdiri.
“Mak kau masak nuget ni untuk kau, Hab. Kalau kau tak nak sekalipun, tak payahlah nak buat macam tu sekali”, ujar Iman Raihan lantas berlalu pergi dari situ.
Habsyah hanya berdiri tegak di situ. Dia tak tahu apa yang harus dilakukannya. Dia perasan mata Iman Raihan yang bergenang dengan air mata.
Sementara itu, Aina berasa tidak senang hati dengan kehadiran Iman Raihan. Hatinya kuat menyatakan bahawa Iman Raihan bukan hanya sepupu bagi Habsyah.
Nuget ayam itu dimasukkan ke dalam mulutnya. Dia mengunyah nuget itu sambil memejamkan mata. Dia boleh rasa ada pasir pada nuget itu tapi ditelan juga nuget itu.
“Hei, Ihan. Kau okey tak?”, tanya Farhan yang duduk di sebelahnya di dalam kelas.
Iman Raihan memandang Farhan. “Aku okey”.
“Then, kenapa kau pejam mata masa makan nuget tu? Sedap sangat ke sampai kau pejam mata bagai?”, tanya Farhan.
“Tak ada apa-apalah. Nuget biasa aje”, jawab Iman Raihan sambil tersengih-sengih.
Farhan mengangkat kening sebelah. Dia merenung Iman Raihan yang memejamkan matanya lagi apabila nuget ayam itu masuk ke dalam mulutnya. Tangannya pantas mengambil satu nuget dari bekas makanan itu dan memasukkannya ke dalam mulut tanpa sempat dihalang oleh Iman Raihan.
“Eh, Paan!”, Iman Raihan tersentak.
Dahi Farhan berkerut. Dia dapat rasa pasir pada nuget ayam itu tapi dipaksa juga tekaknya untuk menelan. Farhan memandang Iman Raihan.
“Sedap nuget tu”, puji Farhan dengan nada mengejek.
Iman Raihan tarik muka masam. “Siapa suruh kau makan?”, dia mengambil lagi satu nuget dan memakannya.
“Kenapa kau makan jugak nuget tu?”, tanya Farhan.
Iman Raihan memandang Farhan dengan muka blur. Farhan mencebikkan bibirnya melihat muka Iman Raihan. Dia mengambil lagi satu nuget dan meniupnya seketika sebelum dimasukkan ke dalam mulutnya.
Iman Raihan tersentak. “Kenapa kau makan nuget tu?”.
“Well, sebab kau tak nak jawab soalan aku tadi”, jawab Farhan selamba.
Iman Raihan diam seketika. Dia mengalihkan pandangannya ke luar kelas. Kelihatan beberapa orang pelajar sedang berbual-bual sambil berjalan. Tinggal beberapa minit lagi sebelum waktu rehat tamat.
“Ihan”, panggil Farhan.
Iman Raihan menghela nafas. “Mak cik aku yang masak nuget ni. Aku tak nak sia-siakan usaha mak cik aku yang bangun pagi semata-mata nak masak nuget ni aje”.
Farhan terdiam. Dia tidak sangka Iman Raihan akan memberi jawapan itu. Gadis berambut pendek yang baru berpindah ke sekolah itu pada minggu lepas merupakan pelajar yang nakal dan bersikap kasar. Farhan tidak sangka pula yang Iman Raihan sanggup merendahkan egonya semata-mata untuk ibu saudaranya.
“Kau ni peliklah, Ihan”, Farhan tersengih-sengih.
Iman Raihan menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bibirnya mengukir senyuman lebar. Dia tidak kisah dengan apa yang diperkatakan oleh Farhan kerana lelaki itu ialah kawannya yang pertama di sekolah barunya.
No comments:
Post a Comment