BAB 3
“Macam mana sekolah hari ni? Okey tak?”.
Iman Raihan memandang ke arah nenek belah ibunya, Nek Limah yang sedang menjahit baju tempahan orang kampung. Iman Raihan hanya menganggukkan kepalanya sebelum pandangannya beralih ke arah televisyen semula.
“Tadi Ihan ada singgah rumah Senah?”, tanya Nek Limah lagi.
“Singgah. Kenapa?”, balas Iman Raihan tanpa memandang Nek Limah.
Nek Limah tersenyum melihat perlakuan cucunya itu. Dia meletak kain baju ke tepi dan menghampiri Iman Raihan. Dia duduk bersebelahan dengan Iman Raihan yang khusyuk menonton televisyen.
“Arman ada kat rumah?”, tanya Nek Limah, lembut.
“Tak. Mak Senah kata minggu ni abang Arman tak balik rumah”, jawab Iman Raihan dengan malas.
“Kenapa?”.
“Sebab dia ada banyak assignment nak kena buat”, Iman Raihan memandang Nek Limah. “Kenapa nenek asyik tanya pasal abang Arman aje ni? Nenek rindu dia ke?”.
Nek Limah tersenyum. Dia hanya mendiamkan diri, tidak menjawab soalan Iman Raihan. Matanya dialihkan memandang ke arah frame gambar yang terletak bersebelahan dengan televisyen. Iman Raihan tampak comel dengan rambut panjang dalam gambar tersebut.
“Nenek”, panggil Iman Raihan.
“Nenek rindukan Wani”, gumam Nek Limah tiba-tiba.
Iman Raihan tersentak. Dia merenung wajah Nek Limah. Bibir Nek Limah mengukir senyuman tapi raut wajahnya kelihatan sayu. Iman Raihan mengetap gigi. Dia memalingkan wajahnya ke tempat lain.
“Ihan tak nak dengar nama tu keluar dari mulut nenek”, ujar Iman Raihan tanpa memandang Nek Limah.
Nek Limah berdiri dan menghampiri frame gambar itu. Frame gambar itu diambil dan ditatap dengan penuh rasa kasih. Dalam gambar itu, ada sepasang suami isteri di belakang Iman Raihan yang baru berumur lima tahun pada waktu itu. Hati Nek Limah terasa sebak.
“Ihan tak rindukan ibu dan ayah Ihan ke?”, tanya Nek Limah pada Iman Raihan.
Iman Raihan hanya diam. Nek Limah menghampiri Iman Raihan dan menunjukkan gambar itu pada Iman Raihan. Iman Raihan berpaling ke arah lain. Dia tidak mahu melihat gambar itu.
“Ihan tak nak balik rumah Ihan ke?”, tanya Nek Limah lagi.
“Ini rumah Ihan sekarang”, jawab Iman Raihan laju.
Nek Limah menyentuh bahu Iman Raihan. “Ihan. Sudahlah tu. Baliklah ke rumah Ihan”, pujuknya dengan lembut.
“Kenapa nenek nak sangat Ihan balik ke neraka tu? Ihan tak nak balik ke neraka tu semula. Ihan tak nak!”, Iman Raihan menepis perlahan tangan Nek Limah dan berlari masuk ke dalam biliknya.
Nek Limah menghela nafas. Dia menatap semula frame gambar yang berada di tangannya itu. Pasangan suami isteri itu tampak bahagia di dalam gambar itu, namun hakikatnya adalah sebaliknya.
Habsyah tersentak apabila Mak Senah tiba-tiba sahaja mencuit bahunya. Dia memandang belakang dan menayangkan muka tidak puas hati. Mak Senah tersengih melihat wajah anak keduanya itu.
“Tolong mak boleh tak, Syah?”, tanya Mak Senah.
Habsyah angkat kening sebelah. “Kalau Syah cakap tak nak, mak tentu paksa Syah sampai Syah nak, kan?”.
Mak Senah buat muka selamba. Dia duduk di sebelah Habsyah. Matanya memandang ke arah langit yang gelap. Tiada bulan dan bintang pada malam itu.
“Mak”, panggil Habsyah.
Mak Senah memandang Habsyah. “Mak nak cakap pasal Ihan”.
“Ihan? Kenapa dengan dia?”, Habsyah menongkat dagunya dengan tangan. “Dia buat hal lagi ke?”.
“Tak. Dia tak ada buat hal”. Mak Senah diam sekejap. “Dia okey tak kat sekolah?”.
Habsyah teringat kejadian yang berlaku pada waktu rehat tadi. Dia rasa bersalah pula kerana membuat Iman Raihan begitu. Tapi dia ingin menjaga hati Aina. Dia tidak mahu Aina salah faham tentang hubungan antara dia dengan Iman Raihan.
“Syah. Ihan okey tak kat sekolah?”, tanya Mak Senah sekali lagi.
“Dia okey aje kat sekolah, mak”, jawab Habsyah walaupun dia tak pernah ambil tahu tentang Iman Raihan di sekolah. “Kenapa mak tanya?”.
“Mak risaukan Ihan”, ujar Mak Senah.
Berkerut dahi Habsyah mendengar apa yang dikatakan oleh Mak Senah. Kenapa Mak Senah risaukan Iman Raihan? Lagipun Iman Raihan tak pernah mengadu apa-apa pada Mak Senah. Iman Raihan hanya akan mendiamkan diri walaupun dia dilayan dengan teruk. Kalau boleh Iman Raihan tak nak Mak Senah tahu.
“Kenapa mak nak risau pasal dia? Biarlah dia nak buat apa pun”, Habsyah mendengus perlahan. “Mak tak pernah pun risau macam ni pasal Syah dengan abang Arman. Sejak Ihan tu datang kampung ni, mak asyik tanya aje pasal dia. Kadang-kadang Syah pelik. Siapa sebenarnya anak mak? Syah dengan abang Arman atau Ihan? Ihan tu kan masih ada parents dia. Sihat walafiat pulak tu. Kenapa mak su dengan pak su hantar Ihan ke kampung ni? Ihan tu menyusahkan aje hidup kita ni, mak”, luah Habsyah.
Mak Senah tersentak mendengar luahan Habsyah. Laju tangan Mak Senah menampar pipi Habsyah. Habsyah tergamam. Dia memegang pipinya yang merah akibat ditampar oleh Mak Senah.
“Kenapa mak tampar Syah?”, tanya Habsyah dengan bengang. “Mak tak pernah tampar Syah sebelum ni. Hanya disebabkan Ihan, mak tampar Syah? Kenapa mak peduli sangat pasal dia tu?”.
Mak Senah berdiri. “Syah tak patut cakap macam tu pasal Ihan. Syah tak tahu apa yang Ihan lalui selama ni”.
Mak Senah berlalu pergi dari situ, masuk ke dalam biliknya. Habsyah hanya duduk di situ. Hatinya membara. Wajahnya merah menyala menahan marah. Rasa cemburu mula menjalar di hatinya.
No comments:
Post a Comment